Kucing belang coklat dan putih menghidu dengan penuh ingin tahu pinggan berisi keju.

Bolehkah Kucing Makan Keju? Apakah Jenis Keju Yang Kucing Boleh Makan?

Pernahkah anda terlihat kucing anda menghidu-hidu keju dalam piring anda atau cuba mengambil sandwic keju bakar anda? Perkara ini tidak menghairankan kerana makanan tenusu ini menyelerakan bagi kebanyakan kucing. Tetapi bolehkah kucing makan keju dengan selamat? Jawapannya ialah ya, dengan berhati-hati, tetapi ada banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Walaupun keju tidak beracun bagi kucing, keju boleh menyebabkan masalah pencernaan, terutamanya bagi kucing yang tidak tahan laktosa. Keju untuk kucing boleh dijadikan kudapan sekali-sekala, dan bukannya makanan ruji dalam diet. Sebelum berkongsi kudapan ini, lebih baik anda ketahui dan pertimbangkan dahulu keperluan pemakanan kucing anda.

Adakah keju baik untuk kucing?

Walaupun keju bukan toksik dan menawarkan protein serta kalsium yang tinggi, keju tidak sesuai secara semula jadi sebagai diet kucing. Sebagai haiwan karnivor, kucing berkembang maju dengan khasiat yang diperoleh terutamanya dalam daging, dan produk tenusu seperti keju biasanya boleh menyebabkan masalah pencernaan. Banyak kucing yang tidak tahan laktosa, iaitu bermaksud bahawa keju boleh menyebabkan gejala yang tidak menyenangkan seperti muntah, cirit-birit dan keletihan.

Keju untuk kucing padat dengan kalori, dengan malah satu cebisan kecil sahaja bersamaan dengan seorang manusia memakan dua setengah burger keju! Perkara ini boleh menyebabkan peningkatan berat yang tidak diingini dan berkait dengan masalah kesihatan jika tidak dikawal dengan teliti. Oleh itu, lebih baik anda anggap keju sebagai kudapan kecil sekali-sekala untuk kucing yang boleh memakannya, dan pastikan tidak membentuk lebih daripada 10% pengambilan kalori harian kucing anda. Sentiasa perhatikan tanda-tanda intoleransi atau alahan dan hubungi doktor haiwan apabila tidak pasti.

Bagaimanakah cara yang selamat memberi kucing anda keju?

Jika anda memutuskan untuk memberi kucing anda sedikit keju, keselamatan adalah kuncinya. Berikut adalah perkara yang perlu anda ingat apabila memberi kucing anda keju:

  • Pilih jenis keju yang sesuai, seperti cheddar atau Swiss yang lebih keras dan lebih mudah untuk dihadam oleh kucing.
  • Potong keju menjadi kiub bersaiz dadu, kemudian pecahkan lagi menjadi cebisan yang lebih kecil bagi mengelakkan kucing tercekik.
  • Ingat, kesederhanaan adalah penting, hadkan kudapan keju untuk kucing kepada tidak lebih daripada dua kali seminggu. Pastikan keju itu membentuk kurang daripada 10% pengambilan kalori harian kucing.
  • Sentiasa baca label bungkusan untuk mengelakkan ramuan yang berbahaya seperti bawang putih sebelum mula memberi kucing sebarang makanan manusia.
  • Mulakan dengan jumlah kecil dan perhatikan kucing anda untuk sebarang tanda-tanda masalah pencernaan, seperti muntah atau cirit-birit. Jika tindak balas buruk berlaku, berhenti memberi kucing makanan itu dan hubungi doktor haiwan.

Adakah semua jenis keju tidak baik untuk kucing?

Walaupun keju boleh menjadi kudapan yang menyelerakan bagi banyak kucing, bukan semua jenis keju selamat untuk kucing makan. Mari lihat lebih teliti beberapa jenis keju berlainan untuk menentukan sama ada keju untuk kucing boleh jadi kudapan yang bagus dan ketika bila keju patut dielakkan:

  • Keju cheddar: Keju keras ini rendah kandungan laktosa berbanding jenis keju yang lebih lembut, menjadikan cheddar pilihan yang lebih baik untuk diberikan sekali-sekala dalam jumlah kecil. Namun, jawapan kepada bolehkah kucing makan keju cheddar bukan ya. Cheddar kaya dengan kalori, oleh itu kesederhanaan adalah penting.
  • Keju parmesan: Serupa dengan cheddar, parmesan mempunyai tekstur yang pejal dan mengandungi rendah laktosa. Aspek ini menjadikannya lebih mudah dihadam oleh kucing, asalkan diberi dalam jumlah yang sangat kecil dan sekali-sekala sahaja.
  • Keju biru: Tentu sekali tidak. Kulat yang digunakan dalam pembuatannya, terutamanya Penicillium, adalah toksik bagi kucing. Lebih-lebih lagi, kandungan lemak yang tinggi dalam keju biru menimbulkan risiko tambahan.
  • Keju kambing: Keju ini lebih selamat, kerana mengandungi kurang laktosa dan garam berbanding keju lain. Namun begitu, disebabkan kandungan lemaknya, keju ini tidak boleh diberikan banyak-banyak.
  • Keju mozzarella: Keju lembut seperti mozzarella lazimnya mengandungi paras laktosa yang lebih tinggi, menjadikannya lebih berkemungkinan membuat perut kucing tidak selesa. Lebih elok dielakkan.
  • Keju krim: Elakkan keju krim kerana kelembutannya menandakan kandungan laktosa yang tinggi, berkemungkinan menyebabkan masalah pencernaan pada kucing.
  • Keju cottage: Walaupun dalam kategori keju lembut, kandungan laktosa yang tinggi dalam keju cottage boleh menyebabkan masalah gastrousus yang ketara pada kucing. Jangan berikan sama sekali.

Bolehkah kucing makan kudapan berkeju?

Kudapan keju untuk kucing yang direka khusus untuk dimakan kucing boleh jadi snek yang enak sekali-sekala untuk si comel anda. Banyak kudapan begini mengandungi sekadar cukup perasa atau kandungan keju untuk mengundang selera tanpa mengganggu sistem pencernaan kucing. Kudapan ini juga boleh jadi berguna untuk menyembunyikan ubat, lantas memudahkan pemberian ubat kepada kucing. Walau bagaimanapun, penting bagi anda memantau reaksi kucing, terutamanya jika kucing anda tidak tahan laktosa, kerana jumlah yang kecil sahaja pun sudah boleh menyebabkan perutnya sakit. Jika sebarang tindak balas buruk berlaku, pertimbangkan menukar kudapan kucing lain yang bebas laktosa.

Walaupun keju mungkin menyelerakan bagi kucing yang sentiasa ingin tahu, penting bagi kita mengutamakan kesihatan dan keperluan pemakanannya. Sedikit taburan kudapan keju boleh jadi menyeronokkan dan menyelerakan bagi kucing yang boleh tahan, tetapi kuncinya adalah sentiasa berhati-hati terhadap masalah pencernaan yang boleh berlaku. Sentiasa jaga kesejahteraan si comel anda dan dapatkan nasihat doktor haiwan sebelum memperkenalkan kucing anda kepada sesuatu yang baru.