Close-up kucing Maine Coon menjilat bibir dengan lembut.

Apa yang perlu dibuat jika kucing anda berhenti makan?

Adakah kucing anda tidak mahu menghabiskan makanannya? Kucing anda cerewet dan turun berat badan? Tingkah laku ini mungkin disebabkan pelbagai faktor, daripada penyakit hinggalah kepada bola rambut dalam perut. Oleh itu, amat penting bagi anda membawanya berjumpa doktor haiwan apabila si comel tidak makan selama 24 jam atau lebih. Doktor haiwan akan mengenal pasti masalah sebenar dan menolak sebarang isu kesihatan yang mungkin menjadi penyebab. 

Walau bagaimanapun, anda masih boleh menggalakkan si comel anda makan makanannya dengan memberinya perangsang selera semula jadi. Perangsang selera untuk kucing boleh didapati dalam pelbagai bentuk – anda boleh cuba mengumpan kucing anda dengan sedikit makanan basah kegemarannya atau kepingan tuna segar. Walaupun ini sekadar beberapa contoh yang biasa, mari kita selami dengan lebih mendalam tentang perangsang selera untuk kucing, sama ada pilihan semula jadi atau pun yang dipreskripsikan, dan mencari jawapan bagi soalan, ‘Bagaimanakah cara merawat kucing yang tidak mahu makan?’

Kaedah semula jadi untuk merangsang selera kucing anda

Kucing tabby coklat yang teruja di sebelah tangan yang memegang Temptations™ MixUps perisa Catnip, Ayam & Cheddar.

Penggalak selera semula jadi untuk kucing bukan sahaja mudah diperoleh, tetapi juga selamat dan memastikan kucing anda mendapat semua khasiat yang diperlukan. Berikut ialah beberapa perangsang selera semula jadi untuk kucing yang anda boleh cuba. 

  1. Ikuti jadual masa makan

    Jika kucing tidak mahu makan, maka memberinya perangsang selera semula jadi untuk kucing tidak memerlukan anda menambah makanan tambahan. Cuba ikuti jadual masa makan. Hospital Haiwan VCA menyatakan bahawa bilangan waktu makan harian untuk kucing bergantung pada jadual keluarga itu sendiri. Kucing sepatutnya makan sekurang-kurangnya dua kali sehari, pada jarak 12 jam. Sekiranya jarak waktu makan lebih daripada 12 jam, perut kucing akan jadi tidak selesa dan terlalu berasid, dan keadaan ini boleh menyebabkan loya.

  2. Cuba makanan baharu

    Jika kucing tidak mempunyai selera makan, maka pelan pemakanan yang pelbagai boleh membantu. Mencuba makanan baharu merupakan perangsang selera semula jadi yang terbaik untuk kucing. Kucing suka makanan ala bufet berbanding makanan yang dicampur-campur. Oleh itu, anda boleh memberinya tekstur dan rasa yang berbeza, seperti makanan basah dan kering.

  3. Jadikan makanannya lebih menyelerakan

    Seperti juga manusia, makanan hangat lebih menarik berbanding makanan sejuk. Cuba panaskan makanan basah dan hidangkan makanan hangat sebagai penggalak selera bagi kucing anda di rumah. Anda juga boleh menambah air suam pada biskut keringnya.

  4. Alihkan mangkuk makanan

    Satu lagi perangsang selera untuk kucing adalah dengan memberinya makan di lokasi yang berbeza. Cara ini membolehkan kucing anda menyerlahkan naluri pemburu semula jadi dalam dirinya. Jika hari ini mangkuk makanannya diletakkan di dapur, cuba alihkan ke ruang tamu pada keesokan hari.

  5. Rangsang naluri kucing

    Menggunakan mainan makanan merupakan perangsang selera yang amat baik untuk kucing. Anda boleh isi mainan makanan dengan biskut kering atau kudapan kucing rangup seperti TEMPTATIONS™. Kemudian baling mainan makanan itu dan biarkan si comel menangkapnya sebelum mendapat kejutan yang lazat.

    Anda juga boleh menggunakan kreativiti sendiri untuk membuat sebuah kotak kecil berisi biskut kering dan biarkan si comel membalik-balikkan kotak itu untuk mencari harta karun yang menyelerakan! Permainan mudah ini akan mengelakkan kucing menjadi bosan di samping menjadi perangsang selera kucing.

  6. Catnip

    Satu lagi perangsang selera untuk kucing ialah catnip. Ya, tumbuhan ini boleh membuatkan si comel anda khayal. Tumbuhan yang berasal dari Eropah dan Asia ini juga dikenali sebagai Nepeta cataria. Kucing jadi khayal dengan menghidu tumbuhan ini, sama ada yang segar, kering ataupun ekstrak minyaknya.

    Bahan kimia dalam tumbuhan ini boleh terikat pada reseptor dalam hidung kucing anda. Ini merangsang saraf deria yang menghala ke otak. Selain membuatkan kucing jadi khayal, catnip juga merupakan peningkat selera untuk kucing.

    Di samping merangsang selera si comel anda dengan membiarkannya menghidu sedikit catnip kering, anda boleh memberinya snek rangup daripada Campuran Snek Kucing TEMPTATIONS™ dengan catnip, ayam serta perasa keju cheddar! Snek ini mengandungi hanya 2 kalori setiap bungkus, amat sesuai untuk kucing anda.

Galakkan Aliran Darah Aktif

Dua ekor kucing yang aktif melompat di dalam ruang tamu.

Selain kesemua perangsang selera semula jadi untuk kucing, pernahkah anda dengar istilah aliran darah aktif? Ya, meningkatkan kadar jantung kucing boleh menggalakkan seleranya secara semula jadi. 

Menggalakkan aliran darah aktif tidak memerlukan senaman kucing yang terlalu banyak. Anda boleh galakkan kucing anda lebih banyak berlari sekeliling rumah. Gunakan mainan kucing untuk membuat kucing berlari selama beberapa minit. Kucing juga suka memerhatikan aktiviti manusia. Buka tingkap bilik dan biarkan si comel melihat dunia luar. Sediakan untuknya sebuah bangku atau rak yang kukuh sebagai penggalak selera kucing yang bagus dan percuma. 

Preskripsi Perangsang Selera Untuk Kucing

Doktor haiwan memakai sarung tangan biru sedang memeriksa jangkitan kulit kucing kelabu.

Jika perangsang selera semula jadi tidak berkesan untuk anda dan anda tertanya-tanya apa yang boleh anda berikan kepada kucing anda untuk merangsang seleranya, doktor haiwan anda mungkin boleh membantu dengan mempreskripsikan perangsang selera untuk kucing. Penting untuk anda ambil perhatian bahawa perangsang yang dipreskripsikan mempunyai kesan yang kuat pada selera kucing. Sentiasa ikuti nasihat dan arahan doktor haiwan apabila mengambil ubat-ubatan ini bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan kucing anda:

  1. Mirtazapine

    Mirtazapine untuk kucing pada awalnya dibangunkan sebagai ubat antikemurungan bagi manusia, dan kini telah menjadi salah satu perangsang selera yang popular untuk haiwan dalam keluarga felin. Mirtazapine membantu mengurangkan loya serta menggalakkan selera, dan boleh didapati dalam pelbagai bentuk termasuk minyak transdermal Mirataz. Pilihan berbentuk sapuan ini berguna bagi kucing yang sukar mengambil ubat secara oral. Ubat ini diluluskan FDA dan secara amnya tiada kesan sampingan yang teruk, dengan mengantuk sebagai kesan sampingan yang paling biasa.

  2. Entyce dan Capromorelin

    Capromeralin ialah ubat cecair untuk diminum khas untuk kucing, terutamanya kucing yang menghidap penyakit buah pinggang. Ubat ini menyerupai hormon lapar, ghrelin, yang membantu merangsang selera. Cecair berperisa vanila ini diberikan melalui picagari dan diluluskan untuk kegunaan harian jangka panjang sekiranya dipreskripsikan oleh doktor haiwan. Capromorelin untuk kucing berkesan, namun hendaklah digunakan dengan berhati-hati kerana mempunyai kesan sampingan terhadap kucing yang mempunyai masalah kesihatan tertentu seperti penyakit kardiovaskular.

  3. Cyproheptadine

    Cyproheptadine ialah satu lagi pilihan yang popular, seringkali dipreskripsikan kerana dwiperanannya sebagai antihistamin dan juga perangsang selera. Sebatian ini boleh didapati dalam bentuk pil dan juga cecair, menjadikannya versatil bagi keperluan kucing yang berbeza. Ini adalah pilihan yang baik jika masalah makan kucing anda adalah berkaitan dengan alahan.

  4. Vitamin

    Vitamin, seperti suntikan B12, juga boleh memainkan peranan penting dalam menggalakkan rasa lapar semula jadi kucing anda. Makanan tambahan ini berkesan terutamanya dalam meningkatkan tenaga dan daya hidup keseluruhan kucing.

  5. Corticosteroids

    Corticosteroid ialah pilihan tambahan, walaupun ubat ini lazimnya digunakan secara berhati-hati kerana kesan sampingannya.

  6. Diazepam

    Diazepam ialah satu lagi ubat yang boleh dipreskripsikan, namun hanya patut digunakan di bawah penyeliaan doktor haiwan.

Nota: Perangsang-perangsang selera ini boleh diberikan kepada kucing hanya sekiranya dipreksripsikan oleh doktor haiwan.

Memastikan kucing makan dengan gembira serta cukup bertenaga adalah kunci kepada kesejahteraan kucing anda secara keseluruhannya. Perangsang selera semula jadi, sekiranya berkesan, boleh jadi menyeronokkan, bermanfaat dan berkesan. Apabila kaedah semula jadi tidak begitu berjaya, doktor haiwan boleh memberikan pilihan preskripsi seperti Mirtazapine atau Entyce bagi memastikan kucing anda berselera makan. Akhir sekali, sedikit kudapan enak TEMPTATIONS™ mungkin mempunyai banyak manfaat, membuatkan waktu makan lebih mengujakan bagi si comel anda!