Temptations imagery

Panduan mengenai Bahasa Badan dan Isyarat Kucing

Panduan mengenai Bahasa Badan dan Isyarat Kucing

Komunikasi adalah penting dalam kehidupan kita, begitu juga dalam kehidupan kucing. Memandangkan kita tidak memahami kucing secara lisan, maka kita hanya boleh bergantung kepada isyarat kucing pada manusia seperti bahasa mata kucing dan bahasa badan kucing. Bahasa badan kucing boleh dibaca melalui postur dan isyarat kucing untuk memahami dan membezakan antara emosi gembira, gelisah, dan marah. Untuk memahami lebih lanjut mengenai bahasa badan kucing anda, mari kita selami dunia bahasa kucing yang merangkumi postur, gerakan dan isyarat kucing. Artikel ini akan membantu anda memahami bahasa mata kucing, bahasa badan kucing, serta memahami bagaimana isyarat kucing anda membayangkan sesuatu emosi.

Bahasa Badan Kucing yang Gembira

Badan:

  • Perhatikan badan yang kelihatan tenang.
  • Kucing meregang dengan selesa atau berehat dalam keadaan yang tenang.

Mata:

  • Mata yang tenang, dipejam perlahan-lahan atau kelopak mata separa tutup.
  • Anak mata membeliak menandakan keterujaan atau keriangan.

Telinga:

  • Telinga menghala ke hadapan.
  • Jika telinga si manja menghala sedikit ke arah sisi, maka ia mungkin sedang berasa tenang.
  • Gerakan dan getaran telinga menunjukkan kewaspadaan atau minat.

Ekor:

  • Menegak dengan sedikit lengkungan di atas.
  • Berdengkur semasa ekor dinaikkan adalah tanda keselesaan.
  • Ekor yang mengembang mungkin menandakan keterujaan, tapi konteksnya juga perlu diambil kira.

Bahasa Badan Kucing yang Sakit

Badan:

  • Isyarat kucing pada manusia semasa sakit boleh dikenal pasti menerusi sifat kelesuan dan kelemahan.
  • Tubuh melengkung atau membongkok.
  • Perubahan dalam tabiat merapikan diri, misalnya tiba-tiba kurang merapikan diri.

Mata:

  • Mata yang kuyu mungkin berpunca daripada dehidrasi atau komplikasi kesihatan.
  • Mata berair atau keruh.

Telinga:

  • Telinga yang menghingap pada kepala.
  • Sering menggoncang kepala dan menggaru telinga mungkin menunjukkan masalah telinga atau parasit.

Ekor:

  • Kucing yang menyelitkan ekornya mungkin disebabkan oleh kesakitan atau komplikasi kesihatan.
  • Ekor yang mengembang pula mungkin menandakan kucing tersebut ingin membuat dirinya kelihatan besar.

Bahasa Badan Kucing yang Riang

Badan:

  • Badan kucing yang riang akan kelihatan lebih santai dan lincah. 
  • Mempamerkan “tundukkan bermain”, di mana tubuh hadapannya direndahkan, dan bahagian belakangnya dinaikkan.

Mata:

  • Mata yang membeliak dan kelihatan peka biasanya diekori dengan tingkah laku riang.
  • Anak mata yang membeliak mungkin menandakan keterujaan dan rangsangan semasa bermain.

Telinga:

  • Telinga yang menghala ke hadapan menunjukkan kucing tersebut sedang peka dan tertumpu pada persekitarannya.
  • Telinga yang mendatar sedikit boleh dilihat semasa sesi bermain yang agak intensif.

Ekor:

  • Diangkat tinggi dan mungkin merenggut kerana teruja.
  • Ekor yang mengembang boleh menandakan keriangan atau keterujaan.

Bahasa Badan Kucing yang Marah

Badan:

  • Bulu berkembang untuk tampak lebih besar dan menggerunkan.
  • Kelihatan tegar, menunjukkan kesediaannya untuk bersifat agresif atau mempertahankan diri.
  • Postur membongkok, dengan badannya berada di paras yang rendah.
  • Kuku diunjurkan.

Mata:

  • Anak mata yang kecil atau terbeliak.
  • Jika kucing merenung anda tanpa mengelip mata, maka ini ialah isyarat kucing pada manusia bahawa ia sedang bersikap agresif. 

Telinga:

  • Telinga menghingap pada kepala.
  • Telinga yang dipusingkan ke sisi atau belakang.

Ekor:

  • Mungkin akan melibas atau menggerakkan ekornya ke hadapan dan belakang.
  • Ekor yang mengembang mungkin menunjukkan perasaan takut atau agresif.

Bahasa Badan Kucing yang Takut

Badan:

  • Kucing yang takut mungkin akan bertinggung di atas lantai.
  • Cuba bersembunyi atau mencari tempat yang terpencil.

Mata:

  • Anak mata membeliak adalah petanda lazim ketakutan atau kegembiraan.
  • Mengelak bertentang mata juga adalah satu perkara yang biasa dalam situasi ini. 

Telinga:

  • Telinga menghingap pada kepala.

Ekor:

  • Kucing yang berasa takut mungkin akan mengembangkan ekornya.
  • Ekor yang diselitkan atau berada di kedudukan yang rendah berhampiran badannya.

Bahasa Badan Kucing yang Tertekan atau Gelisah

Badan:

  • Postur badan yang membongkok atau rendah. Kucing mungkin akan cuba membuat dirinya kelihatan kecil.
  • Gelisah dan merapikan diri secara berlebihan, ada kalanya menyebabkan tompok kebotakan.

Mata:

  • Mata membeliak.
  • Mengelip mata secara berlebihan atau elak bertentang mata.

Telinga:

  • Telinga yang mendatar pada bahagian kepala.
  • Sering merenggut atau bergerak.

Ekor:

  • Ekor yang rendah atau diselitkan.
  • Ekor yang dikibas dengan pantas.

Tindakan Fizikal Lain yang Membayangkan Mood Kucing

Sementara kita cuba mendalami bahasa badan kucing menerusi posturnya, ada lagi tindakan fizikal lain yang boleh membayangkan mood mereka. Isyarat kucing pada manusia seperti berdengkur atau menguis boleh menunjukkan bahawa kucing sedang berasa gembira. Penyuaraan seperti mengiau secara berterusan biasanya merupakan isyarat kucing yang bermaksud ia sedang menyapa, atau kelaparan. Berkicau merupakan tindak balas keterujaan si manja semasa memburu, juga sebagai sapaan mesra. Laungan pula bermakna ia inginkan perhatian, manakala satu lagi bunyi laungan ngiau akan berlaku semasa mengawan. Ngiauan secara perlahan dan mengerang merupakan isyarat kucing pada manusia yang menunjukkan bahawa ia menginginkan sesuatu atau berasa tidak selesa. 

Ada yang mungkin akan bertanya mengapa kucing melengkungkan badannya. Kucing melengkungkan badan atas pelbagai sebab. Postur ini bermaksud kucing anda berasa selesa atau gembira. Jika kucing melengkungkan diri secara defensif, dengan ekornya dinaikkan, ini menandakan bahawa ia sedang berasa takut atau agresif. Memahami mengapa kucing melengkungkan diri dapat membantu kita memahami emosi dan tingkah laku si manja.

Sebagai pemilik kucing yang bertanggungjawab, adalah penting untuk kita memahami postur dan isyarat kucing untuk mengenalinya dengan lebih baik.

Bagaimana Kita Dapat Berkomunikasi Dengan Kucing Menerusi Bahasa Badan?

Selepas memahami tentang bahasa badan, bahasa mata kucing dan isyarat kucing, kita boleh cuba berkomunikasi dengan haiwan kecil ini. Untuk berkomunikasi menggunakan bahasa kucing, kita harus memerhati dan memberi respons kepada isyarat si manja.

Mengelip mata secara perlahan menandakan kepercayaan dan perasaan kasih sayang, manakala postur yang tenang menandakan kemesraan. Perhatikan postur kucing anda dan hormati batasannya, berikan galakan yang positif untuk memperkukuhkan lagi hubungan antara anda berdua. Sebagai contoh, dengan menggoncang pek makanan kucing Temptations™, kucing anda akan menunjukkan betapa terujanya setelah mendengar bunyi pek tersebut. Lihat kucing anda berlari ke arah anda sebaik sahaja anda menggoncang pek makanan itu, merupakan peluang yang baik untuk anda mengeratkan lagi hubungan dengan si manja.

Memahami bahasa mata kucing adalah penting untuk kita, kerana ini adalah kunci untuk memahami bahasa badan kucing. Dengan cara ini, kita dapat mengenal pasti sama ada kucing kita sedang sakit, gelisah, marah atau gembira.

Tuntasnya, bahasa badan kucing boleh diperhatikan melalui isyarat dan postur si manja. Di samping itu, konteks di sebalik bahasa badan kucing juga perlu diambil kira untuk mengaitkannya dengan sesuatu emosi. Mempelajari bahasa badan kucing boleh menjadikan anda pemilik kucing yang lebih baik, membantu anda memahami mereka dan menunaikan segala keperluannya.

Soalan-Soalan Lazim

  1. Bahasa Badan Apakah yang Menunjukkan Kucing Saya Sukakan Saya?

    Kucing yang merasai perasaan kasih sayang akan mengelip mata perlahan-lahan, mempunyai postur badan yang tenang, akan berdengkur dan melagakan kepalanya dengan lembut. Jika kucing anda mula menguis atau mendedahkan perutnya, ia menandakan kepercayaan dan perasaan kasih sayang. 

  2. Mengapa Kucing Saya Menggigit Dengan Lembut?

    Gigitan lembut kucing juga disebut sebagai “gigitan sayang”. Ia merupakan bahasa badan kucing yang menandakan perasaan kasih sayang, keriangan, atau sebagai imbauan bentuk komunikasi yang ia pernah gunakan dahulu sebagai anak kucing.

  3. Bagaimana Sapaan Boleh Dibuat Dalam Bahasa Kucing?

    Gunakan postur yang tenang, kelip mata perlahan-lahan untuk memberi kepercayaan kepada si manja, dan suarakan bunyi ngiau yang lembut. Biar kucing tersebut mendekati anda dan unjurkan tangan anda untuk dihidu oleh si manja. Hormati ruang peribadi si manja, biar kucing datang ke pangkuan anda sambil memerhatikan postur badannya.

X

Beli secara atas talian