Temptations imagery

Jenis dan Rawatan untuk Muntah Kucing

Jenis dan Rawatan untuk Muntah Kucing

Kucing merupakan haiwan peliharaan yang amat istimewa. Ia mampu berdikari, ceria, lagi comel. Bagaimanapun, sebagai pemilik kucing di Malaysia, anda juga pasti sudah arif tentang masalah-masalah kesihatan yang boleh dialami oleh si manja anda. Seperti reaksi muntah kucing, yang boleh memberi kesukaran kepada si manja dan juga anda sebagai seorang pemilik kucing. Artikel ini akan mengupas tentang isu muntah melibatkan kucing, sebab-sebabnya, dan apa yang anda boleh lakukan mengenai masalah ini.

Sebelum itu, adalah penting untuk kita memahami tentang kelaziman insiden muntah di kalangan kucing. Ada sesetengah reaksi muntah yang merupakan satu perkara biasa dalam kehidupan kucing, tetapi reaksi muntah yang kronik boleh mengancam nyawa si manja anda.

Setiap kali kucing muntah, pemilik kucing tidak dapat mengelak daripada berasa gusar dan buntu mengenai apa yang mereka patut lakukan. Kami akan menghuraikan kaedah-kaedah praktikal yang pemilik kucing di Malaysia boleh amalkan untuk mendekati dan menangani masalah ini.

Kenapa Kucing Muntah

Terdapat pelbagai faktor yang boleh membuat kucing muntah. Keupayaan untuk memahami puncanya adalah mustahak jika anda ingin menangani isu tersebut secara efektif. Berikut merupakan antara sebab kenapa kucing muntah, menurut Best Friends Animal Society.

  1. Perubahan dalam Diet

    Kucing mempunyai sistem penghadaman yang sensitif, dan perubahan mendadak dalam pemakanannya boleh membuat kucing muntah. Oleh itu, sekiranya anda menukar makanan atau jenama makanan kucing untuk si manja anda secara tiba-tiba, ia boleh mengganggu perut haiwan kecil ini.

  2. Gumpalan Bulu

    Jangan panik jika anda melihat kucing anda muntah bebola bulu kucing. Tidak seperti manusia yang boleh membersihkan diri dengan memandi sahaja, kucing akan menjilat badan dan bulunya. Kucing suka merapikan diri, justeru kerap tertelan bulu-bulu yang lusuh dan longgar semasa merapikan diri. Bulu-bulu ini boleh berkumpul dalam perutnya lalu terjadilah muntah bebola bulu kucing. Oleh itu, sebaiknya anda membantu si manja anda dengan memberus bulu-bulunya bagi mengurangkan insiden kucing memuntahkan bulu.

  3. Penyakit Penghadaman

    Kes muntah yang kronik atau berulang yang dialami kucing mungkin disebabkan oleh masalah gastrousus seperti gastritis, pankreatitis, ataupun penyakit radang usus. Jangkitan, sensitiviti makanan, dan reaksi imunologi juga mampu mencetus masalah-masalah ini. Jangan tunggu sehingga situasi kucing anda menjadi lebih buruk. Kunjungi klinik haiwan untuk mengenal pasti penyakitnya dan dapatkan rawatan yang bersesuaian.

  4. Alahan

    Kucing, seperti manusia boleh menghidap alahan terhadap makanan, elemen persekitaran (seperti debunga atau hama habuk), atau bahan kimia. Reaksi alahan merupakan antara faktor yang boleh membuat kucing muntah. Dengan mengenal pasti dan menyingkirkan sumber alergen yang wujud di persekitaran atau dalam diet kucing anda, ia boleh membantu menangani simptom alahannya. Rujuk pakar haiwan anda untuk mengenal pasti anasir alergen tersebut dan cara untuk meminimumkan reaksi alahan si manja anda.

  5. Penyakit Sistemik

    Masalah sistemik yang boleh membuat kucing muntah meliputi penyakit buah pinggang, penyakit hati, dan hipertiroidisme. Masalah-masalah ini memberi kesan ke atas pelbagai organ selain boleh mengganggu sistem penghadaman kucing. Masalah ini perlu dinilai oleh pakar haiwan untuk diagnosis dan rawatan.

  6. Parasit

    Anda mungkin tertanya-tanya kenapa kucing muntah, meskipun kucing anda tidak menunjukkan sebarang masalah yang nyata. Dalam situasi ini, mungkin parasit adalah punca yang membuat kucing anda muntah.

    Masalah parasit dalam kucing, seperti cacing gelang, cacing kerawit, atau cacing perut, boleh mengganggu perut dan membuat kucing muntah. Penyahcacingan, di samping langkah pencegahan yang dibuat secara berkala boleh membantu mengurangkan risiko berlakunya jangkitan parasit yang akan datang bersama simptom-simptomnya.

  7. Bahan Asing

    Kucing mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi justeru mungkin akan menelan objek-objek asing seperti tumbuhan, benang, dan sebagainya. Benda-benda asing ini boleh tersumbat dalam usus atau mencetus iritasi pada dinding perut si manja, lalu membuatnya muntah. Jika anda rasa kucing anda telah menelan sesuatu objek asing, dapatkan khidmat bantuan perubatan dalam kadar segera.

  8. Kanser

    Biarpun agak jarang, ada ketumbuhan yang boleh membuat kucing muntah. Ketumbuhan sistem penghadaman atau organ-organ lain boleh menjejaskan fungsi gastrousus. Jika kucing anda sering muntah, kunjungi klinik haiwan berhampiran anda untuk melakukan pemeriksaan.

✔ Jenis Muntah Kucing 

Apabila kita bercakap tentang jenis-jenis muntah kucing, rupa dan warnanya boleh membantu anda mengenal pasti punca masalah tersebut. Berikut merupakan contoh-contoh jenis muntah kucing.

  1. Muntah Kekuningan pada Kucing:

    Ia menandakan kewujudan hempedu, iaitu cecair penghadaman yang dihasilkan oleh hati. Muntah kekuningan pada kucing juga berlaku jika perut kucing anda kosong.

  2. Muntah Jernih:

    Tidak seperti muntah kekuningan pada kucing, muntah jernih biasanya dikaitkan dengan rembesan gastrik dan mukus. Lazimnya, ia berlaku jika perut kucing masih kosong, dan mengalami suatu bentuk iritasi pada dinding perutnya.

  3. Muntah Kucing Berbuih, Putih:

    Sementara muntah kekuningan pada kucing biasanya menandakan kewujudan hempedu, muntah kucing berbuih dan berwarna putih pula menandakan kewujudan mukus dalam perut.

  4. Darah dalam Muntah:

    Ini merupakan satu masalah yang serius dan anda perlu mendapatkan khidmat perubatan dalam kadar segera. Darah dalam muntah kucing, disebut “hematemesis”, boleh berpunca daripada pelbagai kondisi, seperti ulser gastrousus, penelanan objek asing, atau masalah pendarahan.

  5. Muntah Kelihatan Seperti Biji Kopi Kisar:

    Muntah yang kelihatan seperti ini biasanya menunjukkan kewujudan darah yang tidak dihadam sepenuhnya. Dinamakan “melana”, kondisi ini perlu diberi perhatian perubatan dalam kadar segera.

  6. Muntah Keperangan, Busuk:

    Tidak seperti muntah kekuningan pada kucing yang mempunyai punca yang jelas, muntah jenis ini boleh disebabkan oleh pelbagai perkara, termasuk gastrousus tersumbat, keradangan usus, atau pengambilan bahan bertoksik.

✔ Cara Menangani Masalah Kucing Memuntah

Seperti manusia, pengalaman memuntah juga pasti kurang menyenangkan untuk si manja, tapi ada langkah yang anda boleh ambil untuk mengurangkan kesukarannya serta menangani punca masalah tersebut.

  1. Menilai Tahap Keseriusan

    Cuba nilai kekerapan dan intensiti reaksi muntah kucing anda. Jika reaksi muntah kucing yang dilihat hanya berlaku sekali sekala, terutamanya jika tiada simptom-simptom yang mengkhuatirkan, maka anda tidak perlu bergegas untuk mendapatkan bantuan perubatan. Tapi anda patut mendapatkan khidmat nasihat pakar haiwan jika wujud tanda-tanda bagi masalah yang serius.

  2. Tangguh Hidangan Makanan

    Untuk membolehkan perut kucing anda reda selepas ia muntah, maka sebaiknya waktu makanan yang seterusnya ditangguhkan selama beberapa jam. Untuk mengelakkan dehidrasi, pastikan si manja anda mempunyai akses kepada air yang bersih.

  3. Nilai Punca Pemakanan

    Jika anda rasakan penukaran makanan yang dibuat secara tiba-tiba menyebabkan kucing anda muntah, maka anda boleh cuba memastikan penukaran tersebut sebaliknya dilakukan secara berperingkat. Perkenalkan makanan baharu secara berperingkat, yakni dengan mencampurkannya bersama makanan yang lama.

  4. Solusi Kucing Memuntah Gumpalan Bulu

    Untuk mengatasi masalah si manja muntah bebola bulu kucing, kucing anda perlulah dirapikan secara berkala. Dengan memberus bulu kucing anda secara berkala, ia dapat menyingkirkan bulu-bulu yang lusuh dan longgar pada kulitnya. Anda boleh mengamalkan solusi penjagaan bulu seperti makanan kucing khas ataupun produk penjagaan bulu atas kaunter.

  5. Tangani Isu Penghadaman

    Rujuk pakar haiwan jika kucing anda kerap muntah untuk jangka waktu yang agak lama atau jika ia diiringi dengan simptom-simptom masalah gastrousus seperti cirit-birit, kehilangan berat badan, atau kehilangan selera makan.

  6. Tangani Masalah Alahan

    Jika anda rasakan kucing anda muntah akibat alahan, cuba kenal pasti puncanya dan jauhkan sumber alergen tersebut daripada persekitaran atau makanannya. Untuk mengenal pasti punca alahan, doktor haiwan anda mungkin akan mempreskripsikan diet saringan ataupun ujian alahan.

  7. Kawalan Parasit

    Penyahcacingan dan rawatan pepijat yang dibuat secara berkala adalah penting untuk menjauhkan kucing anda daripada parasit. Dapatkan khidmat nasihat veterinar untuk program nyahcacing yang bersesuaian dan ambil langkah pencegahan untuk melindungi kucing anda.

Soalan-Soalan Lazim

  1. Bilakah reaksi muntah kucing menjadi satu isu yang membimbangkan? 

    Ramai yang bertanya kenapa kucing muntah dan patutkah mereka berasa bimbang. Jika kucing anda sering muntah atau menunjukkan tanda-tanda sesuatu penyakit seperti hilang selera makan, bersembunyi, dan cirit-birit, sila dapatkan khidmat nasihat daripada pakar haiwan untuk memahami masalah kucing anda.

  2. Muntah jenis apakah yang normal untuk kucing?

    Anda mungkin tertanya-tanya mengapa si manja anda muntah bebola bulu kucing ataupun mengapa muntahnya berwarna kuning. Adalah satu perkara yang biasa bagi kucing untuk memuntahkan gumpalan bulunya, iaitu lebih kurang sekali setiap seminggu, dan isu ini umumnya tidak berpunca daripada komplikasi kesihatan yang serius.

  3. Apakah antara punca gastrousus dan bukan gastrousus bagi reaksi muntah yang dialami kucing?

    Punca-punca gastrousus yang boleh membuat kucing muntah mencakupi diet yang kurang elok, bendasing, parasit, hipersensitiviti diet, penyakit radang usus, sembelit, kanser, pengulseran, dan pengambilan bahan bertoksin. Manakala punca bukan gastrousus meliputi pankreatitis, penyakit buah pinggang & hati, diabetes, peritonitis berjangkit felin, dan penyakit neurologi.

  4. Bilakah kucing boleh diberi makan selepas ia muntah?

    Selepas kucing anda muntah, anda perlu menghidratkan semula kucing anda. Rata-rata doktor haiwan mengesyorkan tempoh tunggu selama 2 jam setelah kucing anda muntah sebelum menghidangkan air atau makanan. Dapatkan khidmat nasihat pakar haiwan sebelum memberikan sebarang ubat kepada kucing anda.

X

Beli secara atas talian